Friday, July 20, 2012

Anak Kecil

Assalamualaikum... Hari ini di Mesir 20 Julai 2012 bersamaan dengan 1 Ramadhan, iaitu bermulanya kami di sini berpuasa.Terfikir-fikir sudah terlalu lama tidak menulis entri, lalu hari ini aku gagahkan tangan yang sekian lama jendera ini untuk menulis sesuatu untuk perkongsian. Di samping berlatarkan waktu yang penuh barakah ini bersokong janji dariNya yang segala amalan yang baik di bulan ini akan dilipatgandakan balasannya, lantas aku mahu menulis sedikit dengan harapan menjadi sesuatu yang baik untuk dikongsikan.

Aku melihat anak-anak kecil pada hari ini dibiarkan bermain-main sesuka hati kerana fikir si ibu, "biarlah, fitrah anak kecil suka bermain." lalu kata si bapa "anak kecil begini boleh buat apa lagi? Kalu tidak bermain tidur pula dia," atau makanlah dia sesuka hati dia. Kerana begitu fikirku, dogma sebegini sangat salah. Biar aku jelaskan.

Aku masih ingat cerita-cerita sang kancil dan buaya yang diceritakan cikgu ketika umurku 8 tahun. Aku juga masih ingat dongeng-dongeng yang direka oleh rakan-rakan kecilku yang ironinya pada ketika itu, sama sahaja bodohnya dengan diriku. Kata mereka pada suatu malam yang hujan, mereka lihat satu kepulan yang berbentuk figura seperti seekor tikus dengan ekor yang panjang dan mata menyala-nyala berapungan di ufuk barat langit yang kelabu. Kata mereka semua penduduk di kampung mereka gamam dan menyaksikan kejadian tersebut. Namun yang pelik, aku tidak tahu pun. Masih juga aku ingat momok-momok cerita hantu yang dikhabarkan sepupu-sepupu dan kawan-kawanku, yang hantu itu begitu dan hantu ini begini. Iya, sepertinya mereka itu yang menurut ingatan aku lebih pengecutnya daripada aku, pernah melihat hantu itu dan ini. Lucu mengingatkan bagaimana mereka menjelaskan yang sifat hantu itu begitu begini dan jika mahu menghalau hantu itu mesti begitu begini. Namun...

Apa yang berlaku, hinggakan hari ini, aku masih lagi 30 peratus percaya dengan segala yang aku tahu ketika aku berumur sekitar 7 ke 14 tahun. Luar biasa bukan?

Jadi, apa yang ingin aku sampaikan adalah, ketika anak-anak kecil ini seusia 7 ke 14 atau sebagainya, otak mereka masih dalam fasa menerima dan tidak menolak. Masih lagi dalam fasa belajar. Jadi apa yang kita isi ke dalam pengetahuan mereka ketika usia inilah yang bakal mereka ingat sehingga mereka dewasa. Yang bakal mereka percaya selama-lamanya.

Jadi, sebalik daripada menakut-nakutkan mereka dengan cerita hantu yang tidak masuk akal, bukankah lebih baik ajarkan mereka ilmu Hadis, ilmu Al-Quran. Ajarkan Akhlak dan Feqah dengan benar-benar. Tidak cukup dengan menghantar mereka ke sekolah dan diajar ustazah dan ustaz di sekolah, kemudian sepulangnya mereka ke rumah, dibiarkan sahaja mereka menonton cerita kartun dengan berlebih-lebihan di kaca TV. Pupuklah minat mereka menghafal al-Quran dari peringkat awal. Percayalah, tidak perlu ke sekolah tahfiz untuk menghafal al-quran pada usia kecil begitu. Percayalah. Kerana minda anak-anak ketika itu sangat muda dan segar. Mudah untuk mengingat. Aku masih ingat ketika umurku 12 tahun, aku dipilih untuk mewakili sekolahku ketika itu dalam pertandingan tilawah alquran. Lalu aku selalu berlatih membaca ayat-ayat al-Quran sebanyak hampir dua muka surat secara berulang-ulang, hingga beberapa hari. Akhirnya dengan sendirinya aku terhafal ayat-ayat tersebut keseluruhannya tanpa mencuba pun. Nah! Lihat, bagaimana mudahnya mahu menghafal ketika usia muda begitu

Begitu juga pentingnya kepada bakal pendidik yang dipilih adalah benar-benar layak dan berkemampuan untuk menjadi seorang PENDIDIK. Bukan hanya guru bahasa melayu, atau bahasa inggeris, matematik dan sains sahaja. Seorang pendidik yang tahu asas agama yang boleh benar-benar mendidik anak-anak kecil kita. Sedih ketika aku mendengarkan yang penuntut-penuntut di MAKTAB PERGURUAN yang gemar meneguk minuman beralkohol, mengamalkan hubugan kelamin bebas ketika mereka menuntut. Mereka-meraka inikah yang bakal mendidik anak-anak kecil kita nanti? Mahukah kita?

Anak-anak kecil pejuang agama.

  

No comments:

Post a Comment