Wednesday, June 27, 2012

Pulut dan Santan



Assalamualaikum dan salam sejahtera.
semoga kalian sentiasa dalam keadaan sihat sejahtera selalu. Semoga hidup kalian sentiasa diberkatiNya selalu dan sentiasa mendapat rahmatNya Yang Maha Esa.

bagaimanakah hubungan kita dengan saudara2 kita setiap hari? Baikkah? Atau tidak baik? Jika baik maka Alhamdulillah. Jika tidak baik maka bersabarlah. kerana itu adalah dugaan. Ujian Allah kepada kita untuk menilai kuat atau lemah keimanan kita terhadap Allah S.W.T.

Yang paling penting kita sentiasa menilai diri kita dari masa ke semasa. Sentiasa melihat kelemahan diri kita sendiri dan berubah menjadi lebih baik. Jagalah hak-hak saudara dan sahabat kita. Jagalah lisan sesama kita kerana lisan itu terlalu banyak durinya, terlalu hebat racunnya. Lisan adalah satu nikmat Allah yang sangat hebat, jika digunakan untuk kebaikan maka hasilnya akan menguntungkan dan menyenangkan. Namun jika digunakan untuk kemaksiatan maka hasilnya amat buruk sekali dan akan menyusahkan diri sendiri.

Menjadi satu fenomena pada hari ini yang manusia sukar untuk mengawal lisan dengan baik. seringkali tersasar kegunaannya menghasilkan sesuatu yang kita tidak sangka dan kita tidak ingini. Amat beratlah hakikatnya untuk melatih diri kita mengawal lisan dengan baik. Namun ingatlah, hebatnya lisan sehingga mampu mendamaikan. Hebatnya lisan sehingga mampu memporak-perandakan. Hebatnya lisan kerana mampu memulakan persengketaan. Hebatnya lisan kerana mampu memulakan perperangan. Hebatnya lisan kerana mampu meyakinkan. Hebatnya lisan kerana mampu mempengaruhi dan menghasut. Lantas, sangat biasa sekali, manusia dan iman terkalah dengan kehebatan lisan yang barangkali selalu dibantu oleh pujuk rayu syaitan dan yang paling merbahaya musuh di dalam diri manusia itu sendiri (nafsu).

Maka terbukti jugalah betapa dugaan yang bakal timbul dalam satu perhubungan dan persaudaraan kerana setiapnya itu tidak terlepas dari menggunakan lisan sebagai penyatu hubungan. Maka, hendak tidak hendak lisan berpeluang untuk bermaharajalela dan mungkin akan merosakkan hubungan antara saudara jika tidak ditangani dengan baik.

Maka, senarionya begini;

Sememangnya dalam sesuatu persahabatan atau perhubungan yang baik itu dituntut  dalam agama untuk sentiasa berkongsi rasa dan berkongsi hati. Berkaitlah lisan itu untuk membolehkan antara saudara dan sahabat untuk saling memberitahu.

"اذا احب احدكم اخاه فليخبره"
"jika salah seorang daripada kamu menyintai saudaranya maka memberitahulah (berkongsi khabar berita)"
-Diriwayatkan Abu Daud, Tirmidzi, Hakim dan lain-lain

Jadi tidaklah bersalahan dari sisi agama seseorang itu berkongsi khabar dengan sahabatnya, seperti masalah-masalah yang dialaminya dan sebagainya, selagi tidak menceritakan keburukan orang lain, kerana  di situlah lisan yang jahat akan bermain peranan menjerumuskan seseorang itu ke kancah ghibah (mengumpat) yang haram di sisi agama dan berdosa pelakunya. Lalu, disarankan supaya sentiasa berhati-hati dalam berkongsi perkhabaran dengan saudara atau sahabat kita kerana dengan senang sahaja di situ, lisan yang jahat, syaitan dan nafsu akan berusaha menarik kita menuju kekancah kemaksiatan.

Nah! Makin jelaskan tergambar akan bahaya lisan itu terhadap satu-satu perhubungan manusia. Walaupun dalam keadaan kita berniat untuk memenuhi tuntutan agama, tidaklah terhalang usaha syaitan dan nafsu untuk menggoda kita. Kerana itulah, menjadi  satu penyakit yang merebak pada hari ini: pertelingkahan, perbalahan, bertikam lidah dan sebagainya. menjadikan keharmonian dunia semakin terjejas dan semua ini dimulakan oleh lisan yang jahat.

kembali kepada hal yang asalnya tadi. Maka misalnya, berjayalah antara dua orang sahabat atau saudara itu berkongsi sesuatu berita, namun belumlah berakhir cabaran iman dalam persahabatan itu. Kerana sesungguhnya, ujian yang seterusnya menanti, terutamanya kepada si penerima berita. Berita atau khabar yang diterima oleh seseorang itu daripada saudaranya tadi secara langsung menjadi AMANAH yang wajib dijaga oleh si penerima berita. 

"اذا حدث الرجل الحديث ثم التفت فهي امانة"
"jika berkata seorang lelaki suatu perkataan (kepadamu/dan kamu mendengarnya) kemudian dia berlalu pergi maka perkataan itu menjadi satu AMANAH (kepadamu)"
-Diriwayatkan Abu Daud dan Tirmidzi

Maka setentunya AMANAH itu menjadi satu tanggungjawab yang besar kepada seseorang itu, tidaklah wajar dia memberitahu orang lain dengan sewenang-wenangnya.

"الحديث بينكم امانة"
"percakapan di antara kalangan kamu adalah amanah"
-Diriwayatkan oleh Ibnu Abu Dunya

Namun, sungguh mengecewakan sekali jika kita lihat pada hari ini, manusia ringan sekali mengetepikan amanah. Keaiban orang lain menjadi bahan perbualan dan bahan gurauan ringan sahaja. Tanpa memikirkan betapa walaupun hal dan perkataan yang kecil, sudah mampu menimbulkan perasaan yang malu dan tidak selesa oleh tuan empunya diri. Namun perkara ini menjadi kebiasaan yang kita boleh lihat setiap hari. 

"انما يتجالس المتجالسان بالامانة ولا يحل لأحدهما ان يفشى على صاحبه ما يكره"
"sesungguhnya dua orang yang duduk bercakap-cakap itu  hendaklah disertai dengan amanah. Dan tidak halal bagi salah seorang daripada mereka berdua untuk menghebohkan mengenai saudaranya itu sesuatu yang tidak disenanginya"
-Diriwayatkan Oleh Hakim dan lain-lain

Maka berdosalah, jika seseorang itu menghebohkan, atau memecahkan rahsia, atau memberitahu orang lain, hal-hal atau perkara yang dia ketahui daripada sahabatnya itu. Kerana mungkin akan menimbulkan rasa tidak senang kepada orang ketiga itu atau si empunya berita. Walaupun ayat atau berita seringkas:

"Si anu itu memelihara kucing sehingga tidak terjaga.."
ataupun
"Si anu itu pandai benar memasak mengalahkan perempuan,"
ataupun
"Si anu itu mahu berpindah kerana bla bla bla.."
ataupun
"Si anu itu baru sahaja beli motor"

tetap bukan hak kita untuk menceritakan kepada orang lain kerana ia adalah amanah. Tidak diketahui bagaimana kata-kata yang ringkas itu mampu menimbulkan perasaan yang kurang selesa, lalu mungkin bermasam muka, lalu timbul salah faham dan salah sangka, lalu menghasilkan pertelingkahan lalu perpecahan..na'uzubillah.

Jika terjadinya perkara seperti itu, maka terjerumuslah seorang itu dalam kancah mengadu-domba, yang perihal yang sekian itu telah dikutuk sekeji-kejinya di sisi agama.

"لا يدخل الجنة نمام"
"tidak masuk syurga orang yang suka mengadu domba"
-Bukhari dan Muslim

Apakah itu mengadu domba? Mengadu domba adalah perbuatan membuka sesuatu yang tidak disenangi jika disebarkan. Baik yang tidak merasa senang itu ialah orang yang diceritakan ataupun orang yang ketiga (tuan empunya cerita )... Ataupun mengadu domba itu juga adalah membongkar rahsia atau menyingkap tabir kehormatan mengenai sesuatu yang tidak disenangi untuk dibuka atau dihebohkan.

Jadi, perlulah kita kuat dalam menangani masalah sebegini dan ingatlah, dijanjikan kepada orang-orang yang menjaga amanah saudaranya dan menutup keaiban saudaranya suatu balasan yang setimpal 

"عن ابن عباس عن النبي صلى الله عليه وسلم قال من ستر عورة اخيه المسلم ستر الله عورةه يوم القيامة"
Daripada Ibnu Abbas tentang Nabi S.A.W. berkata: barangsiapa menutup keburukan saudaranya yang islam akan Allah tutupkan keburukannya di hari kiamat"
-Diriwayatkan oleh Ibnu Majah.

Jadi gunakanlah janji ini untuk memberi kekuatan kepada kita untuk sentiasa menjaga keaiban saudara kita. Bahkan yang lebih dituntut di sisi agama itu ialah kita lebih menilai kekurangan dan keaiban diri kita sendiri berbanding kita sibuk menilai buruk baik orang lain. 

"طوبى لمن شغله عيبه عن غيوب الناس"
"berbahagialah bagi siapa yang menyibukkan dirinya dengan keaiban dirinya sendiri daripada dia sibuk dengan keaiban orang lain"
-Diriwayatkan oleh al-Bazzar

Terjadi juga hal seperti ini:

 Seseorang itu merasakan dia begitu mampu untuk menyelesaikan masalah, dia merasakan dirinya begitu bijak menangani apa permasalahan sekalipun, sehingga menjadikan dia seolah suka untuk mengambil tahu masalah saudaranya yang lain, kerana baginya dia mampu untuk menolong menyelesaikan masalah tersebut. Bahkan yang terjadi adalah perlakuannya itu semakin mengeruhkan keadaan dan semakin memecah-belahkan. Dia sanggup mengkhianati sahabatnya yang mengadu sesuatu masalah kepadanya, dengan bertindak sendirian, kononnya untuk membantu menyelesaikan masalah. Hakikatnya, sahabatnya itu merasa dikhianati dengan tindakannya itu, lantas lebih mengeruhkan keadaan.

Terkadang, kita cenderung untuk mengadu masalah kepada seseorang bukannya untuk mencari penyelesaian, tapi sekadar untuk meringankan pemikiran, mencari sahabat yang kita percaya lalu bercerita kepadanya, walaupun pada hakikatnya kita mampu menangani masalah itu sendiri.Pasti akan rasa terkhianat kita, bila sahabat yang kita percaya itu cuba bertindak kononnya untuk menolong kita tanpa pengetahuan kita.
Contoh kejadian:

Ahmad bertelingkah dengan Abu tentang sesuatu hal.
Lalu Abu mengadu kepada Ali kerana dia berasa stress.
Bukan untuk meminta tolong.
Lalu Ali menyangka dia mampu membantu.
Tanpa pengetahuan Abu, Ali pergi berjumpa Ahmad.
Kononnya untuk memujuk mereka berbaik semula.
Akhirnya:
Ahmad terasa dikhianati Abu kerana masalahnya yang kecil, tetapi Abu mengadu kepada Ali tanpa pengetahuannya.
Abu pula terasa dikhianati oleh Ali, kerana Ali bertindak mengikut bijak sendiri dan bertindak dibelakangnya.
Jadi kerana sikap Ali, hubungan Ahmad dan Abu semakin renggang. 
Begitu juga hubungan Abu dan Ali. Abu tidak lagi mempercayai Ali jika berkaitan dengan apa-apa masalah.

Disini yang jelas adalah masalah suka bersangka-sangka. kerana sikap individu yang menyangka dialah yang mampu menyelesaikan segala-galanya, meletakkan orang lain di kedudukan yang tidak selesa. 

"ياءيها الذين امنوا اجتنبوا كثيرا من الظن ان بعض الظن اثم"
"wahai orang-orang yang beriman, jauhkanlah daripada kebanyakan dari sangkaan, kerana sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan itu adalah dosa."
-Al-Hujurat:12


Selain daripada itu, antara keburukan lisan yang selalu berlaku adalah suka berbantah-bantah.  Hal ini berlaku kerana sikap manusia yang ego tidak mahu menerima kesalahan diri sendiri. walaupun dalam kalangan orang yang berilmu, sikap berbantah-bantah ini adalah sikap yang sangat buruk. Tidak lagi termasuk dengan betapa kejian Allah terhadap orang yang suka menunjuk-nunjuk ilmunya dan mencari ilmu semata-mata untuk hebat berdebat mengalahkan hujah-hujah lawan yang lain.

Maksud hadis:
"Barangsiapa yang meninggalkan berbantah-bantah dalam keadaan dia salah, maka akan didirikan oleh Allah untuknya sebuah rumah dalam halaman syurga. 
Dan barangsiapa yang meninggalkan bantah-membantah dalam keadaan dia benar, maka didirikan untuknya sebuah rumah di pertengahan syurga.
Dan sesiapa yang baik akhlaknya akan dibinakan untuknya oleh Allah tempat yang tertinggi di syurga."
-Diriwayatkan oleh Tirmidzi dan Ibnu Majah. 

Maka jauhkanlah diri kita daripada suka berbantah-bantah walau benar pun kita, apatah lagi jika kita salah. Buruklah amat sikap manusia yang suka mencari-cari alasan untuk menutup kesalahan sendiri dan berbantah-bantah.

Jauhkanlah juga diri kita daripada keburukan lisan, suka menghina-hina. Ini berlaku kerana manusia terbiasa dengan kesenangan hidup dan sentiasa merasa dirinya SUPERIOR lalu barangkali dia terasa mampu memperkecil-kecilkan orang lain. Dia lupa untuk meletakkan dirinya ditempat orang lain yang lebih susah dan mengalami kekangan yang tidak pernah dirasakannya. Kata-kata seperti:

"dhaifnya keadaan kamu ini,"
"buruknya rumah kamu ini,"
dan sebagainya.

barangkali dia bangga dengan kelebihan dirinya dan lupa apa yang dia rasa itu adalah milik Allah. Lagi buruklah sikap jika seseorang itu suka mencela sifat zahir manusia kerana secara langsung dia menghina ciptaan Allah. 

"عن ابي هريرة قال قال رسول الله صلى الله عليه وسلم المسلم اخو المسلم لا يظلمه ولا يجذله و لا يحقره و حسب امرىء من الشرأن 
يحقر اخاه المسلم"
"Daripada Abu Hurairah berkata, berkata rasulullah S.A.W. 
Seorang muslim itu adalah bersaudara dengan muslim yang lain. Dia tidak boleh menganiayainya, merendahkannya, dan tidak boleh menghinanya. Cukuplah seseorang itu dianggap sebagai seorang yang buruk apabila dia menghina saudara sesama islam"

Nah! Jelaskan betapa berbahayanya lisan terhadap kehidupan seseorang manusia muslim. Lalu sentiasalah merenung diri kita semoga kita sentiasa diberi pertunjuk oleh Allah dalam mengharungi hidup yang penuh liku ini.

RUMUSAN:

1. Berhati-hatilah dalam berkongsi rasa dan hati dengan orang-orang yang boleh dipercayai sahaja.
2. Setiap perkataan antara dua orang itu adalah amanat yang wajib dijaga.
3. Jauhkanlah diri dari suka mengadu-domba
4. Renungilah keburukan diri sendiri daripada mencari-cari keburukan orang lain.
5. Jauhkanlah daripada suka bersangka-sangka.
6. Jauhkanlah daripada suka berbantah-bantah.
7. Jauhkanlah daripada suka menghina dan mencela.

1 comment:

  1. font kecik tambahan warna striking~ kurg jelas..~ilmu yang sgt berguna. keep it up!

    ReplyDelete